(image)
KUALA LUMPUR - Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh yang kontraknya bakal berakhir tidak lama lagi merasakan sekarang adalah masa yang sesuai bagi beliau untuk berundur kerana sya rikat itu kini sedang mencatatkan prestasi yang baik.

"Saya merasakan syarikat berada dalam keadaan baik sekarang walaupun tiga suku lepas kami mencatatkan kerugian yang pada asasnya disebabkan kos tambahan yang ditanggung akibat kami terpaksa menggunakan sulingan dan minyak.

"Alhamdulillah, kami berjaya memulihkannya (TNB). Keadaan kembali seperti biasa. Oleh itu, ia masa yang sesuai untuk berundur," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan syarikat utiliti itu bagi prestasi kewangan suku kedua/separuh pertama yang berakhir pada 29 Februari 2012.

TNB mencatatkan keuntungan bersih RM2.81 bilion dalam suku kedua selepas mencatatkan kerugian berturut-turut dalam tiga suku lepas.

"Saya gembira melihat perubahan positif dalam TNB. Syarikat mencatatkan prestasi baik sekarang, jadi ia masa yang baik bagi saya untuk berundur. Saya gembira melaksanakan tugas saya dengan Tenaga dalam tempoh lapan tahun lepas," katanya.

Che Khalib, yang kontraknya dengan TNB berakhir pada 30 Jun, berkata TNB sedang mengenal pasti calon bagi jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang kosong selepas peletakan jawatan Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican.

"Beberapa nama telah dicadangkan kepada kami oleh sebuah syarikat penyelidikan. Kami sedang mencari calon yang sesuai," katanya sambil menambah, CFO baharu itu akan menyertai syarikat pada akhir Mei. - Bernama